WAYANG KULIT
Wayang
kulit adalah salah satu unsur kebudayaan Melayu peninggalan warisan
yang mengandungi nilai-nilai seni, pendidikan dan nilai yang tinggi dan
benar-benar berharga untuk dipelajari dengan sedalam-dalamnya.
Mengikut
Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka (1994), wayang kulit ialah patung
dan lain-lain yang dibuat daripada kulit untuk menunjukkan sesuatu
cerita. Patung-patung wayang kulit boleh berbentuk manusia, haiwan, dan
objek-objek lain yang digeraklakonkan mengikut watak, situasi atau
cerita tertentu. Patung ini dapat dibuat daripada kulit, plastik,
lutsinar dan kertas tebal. Biasanya patung ini nipis dan berbentuk dua
dimensi. Pemain wayang kulit menggunakan dialog yang sesuai dengan
watak patung berkenaan. Suara latar, muzik, atau bunyi-bunyi tertentu
digarap bersama bagi mengiringi pergerakan patung itu.
Wayang
kulit adalah salah satu bentuk teater tradisional yang telah berakar
umbi sejak sekian lama di Kepulauan Melayu. Bermula dengan hikayat
klasik Mahabrata dan Ramayana yang terkenal, wayang kulit mempunyai
nilai tradisi yang tersendiri dalam menjadikannya warisan zaman
berzaman. Negara-negara seperti Turki, Jepun, China, India, Thailand,
Indonesia dan beberapa negara lain turut memiliki tradisi yang hampir
sama dengan wayang kulit mungkin berbeza dari segi nama sahaja. Malaysia
sendiri amat beruntung kerana memiliki empat jenis wayang kulit yang
berbeza penampilan bentuk dan gaya persembahannya. Ini dapat dilihat
dalam wayang kulit Kelantan (dikenali juga sebagai wayang kulit Siam)
yang popular di Kelantan dan
Terengganu, manakala wayang Gedek terkenal di Kedah dan Perlis, wayang
kulit Purwa di Johor dan wayang kulit Melayu pernah dipopularkan di
Kelantan.
Wayang
kulit adalah sejenis persembahan pentas yang menggabungkan kemeriahan
pertunjukan patung dengan kesederhanaan gaya pertunjukan wayang kulit.
Patung wayang kulit yang leper diperbuat daripada kulit lembu atau
kerbau yang diukir halus dan dicat tangan. Setiap patung mempunyai rupa
dan bentuk watak manusia yang tersendiri, dan mempunyai bahagian tangan
dan kaki yang bersendi. Pertunjukan wayang kulit dipersembahkan oleh
seorang Tok Dalang dan lazimnya menceritakan kisah epik sejarah Hindu.
Dalam persembahan wayang kulit terpancar nilai dan sistem budaya kawasan
itu. Brandon (1967: halaman 277) berpendapat wayang kulit yang terdapat
di semua negara memainkan peranan penting bagi golongan pemerintah
menyalurkan idea, sistem kepercayaan dan nilai kepada penduduk luar
bandar dan penduduk bandar yang buta huruf serta berfungsi sebagai
saluran komunikasi dan merupakan kegiatan upacara komunal.
Memang
benar wayang kulit sudah dimainkan dibeberapa tempat dan mendapat
sentuhan bermula dari Bali, Jawa, Sunda, Kalimantan, Sumatra dan Melayu.
Teater wayang kulit ini dipercayai sebuah teater yang sangat tua
merangkumi seluruh Asia Tenggara termasuk Turki, China dan India. Oleh
kerana luasnya taburan teater ini dimerata- rata tempat maka timbulah
pelbagai cerita atau teori yang mengisahkan tentang asal-usulnya.
Salah
satu daripada pendapat yang mengatakan bahawa wayang kulit ini berasal
dari India. Katanya wayang kulit ini dibawa masuk ke Malaysia dan Asia
Tenggara amnya melalui pengaruh Hindu pada masa itu. Pengaruh tersebut
dapat dilihat sampai sekarang di dalam wayang kulit yang membawa
cerita-cerita dari India seperti Ramayana dan Mahabharata.
Demikian
pula dengan bentuk patungnya, menurut mereka terdapat banyak persamaan
antara bentuk patung wayang kulit di Kemboja dan Thailand dengan yang
terdapat di Andhra Pradesh, Orissa dan Kerala di India. Patung wayang
kulit di Malaysia dan Indonesia pula menerima pangaruh dari patung
wayang golek di India. Antara para sarjana yang menyokong pendapat ini
ialah Sabri East Siyavusgil, Jacques Brunet dan William Ridghway.
Selain
itu, pendapat lain pula mengatakan bahawa wayang kulit ini berasal dari
China. Mereka pula merujuk kepada suatu cerita lagenda di zaman Raja
Han Wu Ti yang menayangkan bayangan dikelir sebagai memanggil roh dan
semangat isteri baginda yang telah mati. Pendapat ini di utarakan oleh
Berthold Laufer.
Bukan
itu sahaja, pendapat lain pula mengatakan bahawa wayang kulit ini
berasal dari Jawa. Mereka mengatakan bahawa banyak istilah Jawa kuno
yang terdapat dalam wayang Purwa telah pun ada sebelum masuknya pengaruh
Hindu ke Asia Tenggara. Pendapat ini di kemukakan oleh Hazeu.
Setakat
ini belum ada satu bukti yang jelas untuk kita mengatakan tempat yang
sebenarnya kemunculan wayang kulit itu. Berbalik pada wayang kulit
Kelantan pula sejarah tradisinya adalah berasal dari Siam, tetapi jika
dilihat pada penceritaan dan pengucapannya, wayang Kelantan ini sudah
pun menerima pengaruh dari Jawa. Oleh kerana negara kita ini terletak di
tengah-tengah dunia Melayu jadi tidak mustahil kita telah menerima
budaya serantau melalui hubungan perdagangan, kebudayaan, asimilasi dan
sebagainya lagi.
Wayang Kulit di Malaysia terdiri daripada beberapa jenis. Wayang
kulit ini terbahagi kepada empat jenis iaitu wayang Kelantan, wayang
Melayu, wayang Purwo dan wayang Gedek. Wayang Kelantan terdapat di
Kelantan dan negeri-negeri Pantai Timur yang mempersembahkan
cerita-cerita Hikayat Seri Rama, manakala Wayang Purwo pula terdapat di
bahagian Selatan Pantai Barat Semenanjung terutamanya di Johor yang
mengetengahkan episod dari kitab Mahabrata dan cerita Panji.
Sementara
itu, wayang Gedek pula, lebih sinonim di negeri Kedah, Perlis dan
beberapa negeri di bahagian utara Pantai Barat Semenanjung manakala
wayang kulit Melayu disampaikan dalam bahasa Melayu mempunyai pengaruh
Jawa. Penceritaannya berdasarkan cerita-cerita daripada Kitab
Mahabharata seperti cerita Pendawa Lima. Selain itu, cerita-cerita panji
juga diketengahkan, iaitu tentang kepahlawanan tokoh-tokoh seperti
Raden Inu Kertapati dan Putra Raja Kahuripan. Walaupun berbeza jenisnya,
namun elemen
untuk membentuk sesebuah wayang kulit tetap sama. Wayang kulit
didirikan oleh beberapa elemen penting iaitu dalang, patung, pentas,
kelir dan muzik. Gabungan daripada elemen inilah yang menjadikan
persembahan wayang kulit satu persembahan yang harmonis dan diminati
setiap lapisan masyarakat.
Dalang
Penayangan wayang kulit tidak boleh dilakukan jika tiada dalang.
Dalang merupakan pemimpin dan tukang cerita dalam persembahan wayang
kulit. Dalang juga bertindak sebagai pemain segala peranan dalam cerita
wayang kulit dengan menggerakkan patung yang diukir daripada kulit
lembu, untuk melambangkan pelbagai watak dalam cerita seperti Ramayana,
Mahabrata dan cerita Panji.
Dalang dikenali sebagai tokoh pencerita yang beraksi sambil bercerita, dan memainkan patung wayang kulit. Sesebuah
persembahan wayang kulit yang baik bergantung kepada kepakaran dan
kecekapan seseorang dalang dalam menyampaikan cerita. Untuk menjadi
dalang yang baik, penggunaan suara turut memainkan peranan penting dalam
persembahan yang memakan masa tidak lebih daripada dua jam. Unsur-unsur
komedi diselang-seli dengan isu semasa sebagai tarikan dan mengelakkan
penonton berasa bosan. Bukan itu sahaja, keistimewaan dalang juga dapat
dilihat dari segi kemampuannya mengatur gamelan sebagai pengiring pentas
wayang yang harus disesuaikan dengan situasi dan cerita yang ingin
dipersembahkan. Justeru, seorang dalang harus mampu membawa lakon dengan
baik dan menarik serta dapat memukau penonton agar tidak jemu menikmati
persembahan hingga selesai.
Antara dalang-dalang yang terkenal ialah Pak Hamzah, Dolah Baju Merah, Dalang Noh Siam, Pak Margono Sitir dan lain-lain.
Pentas dan kelir
Pentas dan Kelir merupakan
aspek terpenting dalam sesuatu persembahan wayang kulit. Pentas wayang
kulit diperbuat daripada kayu begitu juga dindingnya manakala bagi
atapnya pula diperbuat daripada daun rumbia atau daun nipah. Pentas
biasanya dibina tiga atau empat kaki daripada tanah dan ia menyerupai
pondok kecil yang boleh menempatkan patung-patung, alat-alat muzik dan
perkakas-perkakas persembahan. Dalam persembahan wayang gedek, pentas
merupakan salah satu aspek yang perlu diberi perhatian. Pembinaannya
mestilah mengikut pantang larang dan syarat-syarat tertentu.
Antara
pantang larang yang masih kuat dipegang oleh masyarakat ialah tidak
boleh menghala ke arah matahari terbenam dan dibina di atas busut.
Selain itu, pentas yang digunakan adalah berbentuk serambi rumah iaitu
bumbungnya lebih tinggi di sebelah hadapan yang dipanggil ‘pisang sesikat’.
Bahagian kiri, kanan, dan belakang pentas pula ditutup oleh dinding
yang diperbuat daripada kayu ataupun buluh. Pentas tersebut juga
dilengkapi dengan batang pisang yang diletakkan di antara kedudukan
dalang dengan kelir. Fungsi batang pisang itu adalah sebagai tempat
memacak gambar-gambar wayang yang digunakan semasa persembahan.
Kelir
pula merupakan sejenis kain putih yang direntang di depan panggung yang
melindungi dalang dan pemain muzik. Di belakang kelir pula, dipasang
lampu untuk menerbitkan bayang. Pada zaman dahulu, lampu (belincong)
yang digunakan ialah pelita ayam sebelum muncul gasolin. Kini lampu
digunakan menggantikan gasolin dan pelita ayam. Sebuah pelita atau
mentol akan digantung di tengah-tengah pentas bagi menghasilkan
bayang-bayang yang seimbang kepada penonton yang berada di hadapan
pentas. Kedudukan pelita ataupun mentol itu adalah berhadapan dengan
dalang dan ditutup sebahagiannya supaya cahaya yang terhasil akan
bertumpu pada satu arah sahaja. Kekurangan daripada kedua-dua sudut ini
akan menyebabkan persembahan wayang kulit menjadi hambar dan tidak
menarik.
Patung wayang kulit
Patung-patung
wayang kulit sangat penting dalam persembahan. Tanpa patung-patung ini,
tiada watak yang dapat ditunjukkan walaupun adanya tok dalang. Bentuk
patung wayang kulit yang berpengaruh Jawa mempunyai sendi tangan yang
boleh digerakkan manakala patung wayang kulit Kelantan pula, hanya
mempunyai satu sendi tangan sahaja. Antara watak-watak wayang kulit yang
digunakan ialah seperti Wak Long, Pak Dogol, Mahasiko (Wayang
Kelantan), Semar dan Cemuras / Turas (Wayang Melayu). Watak-watak wayang
kulit ini bukan sahaja melambangkan perwatakan tempatan tetapi
pembentukan patungnya juga terkeluar dari kelaziman pembentukan
patung-patung yang lain.
Pada
zaman Hindu, patung wayang mula diukir hingga mendapat bentuk yang
sempurna. Pada zaman kemunculan Islam pula , terdapat beberapa perubahan
akibat asimilasi Islam antaranya bentuk wayang dibuat pipih hingga
menjadi dua dimensi dan gambar miring, kemudian diberi warna putih dan
hitam serta diberi kerangka sebagai pengapitnya. Bentuk wayang kulit ini
kemudian mengalami perubahan lagi, khususnya waktu pemerintahan Sultan
Agung dengan menambah bentuk wanda, iaitu bentuk-bentuk muka wayang mengikut kelompok–kelompok, misalnya Kresna, Samba, Wisanggani, Arjuna, Angkawijaya, dan lain-lain lagi. Ada tambahan juga terutama pada bentuk mata,
iaitu terdapat nama-nama khusus, misalnya bundar (Gatotkaca), Kedondong
(Sencaki), garitan (Arjuna dan Srikandi). Pada zaman penjajahan, bentuk
wayang ini mengalami perubahan. Perubahan ketara yang dapat dilihat
ialah patung wayang diberi pakaian, dan ditambah pula watak sabrangan (orang luar) serta watak bota (raksasa) perempuan.
Kehalusan
dan ketinggian nilai seni jelas kelihatan pada gambar patung yang
dihasilkan contohnya dalam wayang Gedek. Selain itu, pantang larang juga
sangat diambil kira dalam proses pembuatan itu terutama terhadap dalang
itu sendiri. Contohnya, isteri dalang tersebut mestilah dalam keadaan
tidak hamil untuk mengelakkan perkara buruk akan menimpa keluarga dalang
tersebut. Kehalusan serta ketinggian kesenian kerja tangan tertera pada watak-watak wayang kulit.
Ciri
pembuatannya melambangkan ketelitian serta ketinggian kesenian
pembuatnya. Watak-watak atau patung-patung wayang kulit ini biasanya
diperbuat daripada kulit lembu. Nilai dan mutu kulit lembu hendaklah
memenuhi spesifikasi dan kriteria tukang-tukang wayang kulit. Kulit
lembu betina menjadi pilihan berbanding dengan kulit lembu jantan kerana
ia lebih besar dan lembut. Kulit
- kulit ini boleh didapati dengan membeli daripada penjual daging
tempatan atau di tempat penyembelihan. Patung wayang yang diperbuat
daripada kulit lebih tahan lama dan boleh mencapai usia melebihi 100
tahun jika diselenggarakan dan dijaga dengan baik.
Mengikut
kefahaman dahulu yang masih dipegang kuat oleh pembuat patung, setiap
patung wayang kulit mestilah diperbuat daripada kulit dan bukan daripada
kayu atau bahan-bahan lain. Masih ada yang
mempercayai bahawa muncul satu kesakahan jika dibiarkan sahaja
kanak-kanak atau sesiapa sahaja bermain wayang kulit dengan mengantikan
patung wayang sebenar dengan wayang kayu. Ini bagi mengelakkan
kanak-kanak tersebut daripada ditimpa penyakit kerana patung wayang
kulit dipercayai mempunyai penjaganya tersendiri. Sehingga kini, pantang
larang ini masih diamalkan dan menjadi pedoman penduduk setempat.
Berbalik kepada cara pembuatannya, bagi kulit-kulit yang telah dipilih,
kerja awal yang perlu dilakukan ialah mengeluarkan lebihan daging dan
lemak yang melekat padanya di atas pemidang bersegi empat, yang
diperbuat daripada kayu atau batang buluh. Kerja-kerja penegangan
kulit ini bagi memudahkan lebihan daging dan lemak melekat dikikis
dengan "pisau raut" atau dikenali dengan nama "pisau wali" ketelitian
menjadi sifat utama kerja mengikis bagi mengelakkan kulit tersebut
daripada terkoyak, dan yang paling utama ialah memastikan kulit itu
benar-benar bersih.
Kulit
yang benar-benar bersihkan dijemur sehingga kering. Ia akan mengambil
masa 2 atau 3 hari, bergantung pada keadaan cuaca. Kulit tersebut
biasanya dijemur agak jauh dari rumah bagi menghindari bau busuk.
Setelah kulit cukup kering kerja-kerja mengikis dilakukan dengan
menggunakan pisau raut. Setelah dikikis dan bersih daripada bulu, kulit
tersebut perlu dibasuh dan dijemur buat kali kedua. Sementara menunggu
kulit yang dijemur itu kering, tukang wayang akan memulakan lakaran
patung-patung wayang yang hendak dibuat.
Biasanya
lakaran watak-watak wayang dibuat di atas kertas putih nipis.Walaupun
watak-watak wayang diasaskan kepada watak-watak wayang kulit Melayu
purba, kemahiran dan kreativiti amatlah perlu bagi mencorakkan watak
wayang kulit yang halus dan menarik. Penjenisan corak dan motif perlu
disusun dengan teratur, kemas dan bersesuaian dengan watak wayang yang
dibuat. Biasanya watak wayang kulit Melayu berukuran lebih kurang 71
sentimeter panjang dan lebarnya tidak melebihi 30 sentimeter. Lakaran
pada kertas yang telah disediakan itu seterusnya akan digunting atau
dipotong mengikut profil. Tukang wayang selanjutnya menampalkan lakaran
tersebut pada kulit dengan menggunakan bahan pelekat yang senang
ditanggalkan. Kebiasaannya bahan pelekat yang digunakan diperbuat
daripada kanji atau pelekat yang akan larut dalam air.
Kertas
lakaran yang dilekatkan pada kulit seterusnya dipahat mengikut
lakaran. Setelah selesai kerja-kerja memahat, kertas lakaran putih yang
masih melekat pada kulit ditanggalkan atau dicuci. Bagi sesetengah
dalang mereka menggunakan berus tembaga halus dan air untuk menggosok
dan membersihkan kertas yang melekat pada kulit.
Kulit
yang telah dicuci akan dibiarkan kering. Watak-watak wayang itu
seterusnya akan diperkuatkan dengan bilahan buluh. Buluh yang diraut
membentuk bulat leper serta runcing dibahagian pangkalnya dan diikat
menegak di tengah-tengah patung wayang. Buluh itu dikenali sebagai
"tulang" kepada patung-patung wayang tersebut. Tulang pemacak ini akan
dibelah dua dari hujung hingga tinggal kira-kira 30.5 sentimeter dari
pangkalnya. Seterusnya patung wayang itu dikapit di antara belahan
tersebut akan diikat dengan benang mentah pada jarak kira-kira 5
sentimeter.
Selain
daripada bahan buluh yang dapat dijadikan tulang kepada patung-patung
wayang, kayu serta tanduk kerbau juga digunakan. Oleh kerana kayu dan
tanduk sukar didapati dan dikendalikan, maka buluh duri menjadi pilihan
utama bagi tukang-tukang wayang. Selain senang diolah buluh duri juga
didapati tahan lama serta ringan. Setelah proses itu selesai, proses
mewarna pula dilakukan selepas gambar patung itu siap diukir. Warna yang
biasa digunakan adalah warna terang seperti merah, hijau dan hitam.
Gambar patung yang sudah disiapkan akan disokong oleh buluh yang diraut
halus. Ia dapat menberikan perbezaan antara watak-watak yang lembut dan watak-watak yang garang.
Watak
Seri Rama biasanya diwarnakan hijau, adik Seri Rama iaitu Laksamana
diwarnakan merah, muka Siti Dewi berwarna buluh gading, Hanuman
diwarnakan merah atau putih manakala raksasa berwarna ungu atau merah
padam. Selain itu, bahagian-bahagian yang tidak berpakaian seperti muka,
leher, lengan, tangan, betis, dan kaki biasanya dibiarkan licin tanpa
cat. Satu lagi aspek yang penting disini ialah semua watak diberi
pakaian bercorak batik yang menjadi identiti wayang kulit itu sendiri.
Alat muzik
Persembahan
wayang kulit akan diiringi dengan satu kumpulan muzik sebagai membantu
menghidupkan lagi watak-watak yang dimainkan dan menggambarkan suasana
adegan-adegan yang berlaku ketika itu. Penggunaan alat muzik dalam
persembahan wayang kulit adalah berbeza antara satu dengan yang lain.
Peralatan muzik untuk wayang kulit Kelantan ialah gong, (tetawak),
gendang, geduk, gedombak, canang, mong, serunai dan kesi. Bagi wayang
kulit Purwo pula alat-alat muzik yang digunakan ialah gong besar (gong
Agong), gong suwukan, gambang, kempul, kenong, gender, slentem, demung,
saron, peking (saron penerus), ketok / kompang, rebab dan gendang.
Antara jenis-jenis lagu yang dimainkan pula ialah seperti lagu Bertabuh,
Perang, Seri Rama, Kabar Manja, Buluh Seruas, Pandan Wangi dan banyak
lagi.
Dalam
membuat penilaian ke atas seni ini, ia perlu dilihat daripada beberapa
faktor penting seperti persembahan yang menarik, keunikan pada
patung-patung wayang yang penuh dengan ukiran menarik, kemerduan alunan
muzik gamelan, falsafah dan juga pengajaran disebalik persembahan itu
sendiri. Ia akan tetap tertakluk kepada individu itu sendiri untuk
menilainya.
Lagu
Pada
peringkat awal, lagu-lagu yang dipersembahkan dalam wayang kulit
contohnya wayang gedek adalah dalam versi Thai. Namun kemudian
tokoh-tokoh wayang kulit seperti Pak Noh menterjemahkan lagu-lagu
tersebut ke dalam bahasa Melayu mengikut cara persembahannya. Sebenarnya
wayang kulit mempunyai unsur-unsur muzik yang tersendiri. Ia menjadi
satu bentuk persembahan untuk hiburan ramai. Antara lagu-lagu dalam
persembahan wayang kulit ialah lagu “bertabuh” yang merupakan lagu
pembukaan permainan wayang kulit. Lagu-lagu lain ialah seperti lagu Seri
Rama, Rawana Berjalan, Maha Risi, dan Pak Dogol.
Wayang Kulit Abad ke-21
Terdapat
juga pemerhati dan peminat seni yang tidak dapat membezakan yang mana
lebih penting sama ada seni mengatasi pengajaran atau pengajaran
mengajar seni, sehingga ada golongan-golongan yang memberi pandangan
negatif terhadap persembahan wayang kulit. Mereka menganggap
persembahan ini penuh dengan tahyul, syirik dan membuang masa.
Sebenarnya falsafah
asal pengwujudan seni taeter ini harus diteliti dan dikaji supaya tidak
disangkal oleh sesetengah golongan yang beranggapan ianya salah disisi
agama.
Berlainan
pula bagi mereka yang melihat persembahan wayang kulit sebagai sebuah
persembahan yang simbolik dan kaya dengan ilmu serta keseniannya yang
terselindung disebalik gerak-geri patung, alunan muzik gamelan dan
cerita yang disampaikan. Seolah-olah persembahan wayang kulit ini
berperanan sebagai satu daripada media yang menyampaikan mesej dan
pengajaran kepada masyarakat pada zaman dahulu berikutan tiadanya
teknologi seperti televisyen, radio, cd, komputer dan sebagainya.
Sama
ada negatif atau positif pemikiran seseorang itu, apa yang pasti seni
ini dapat melihat sejauh mana keupayaan dalang dalam persembahan wayang
kulit. Kepuasan seseorang dalang tergambar pada wajah mereka apabila
dapat menghasilkan patung yang cantik dan dapat mempersembahkan
pertunjukkan yang menarik kepada pengunjung.
Nilai
dan kandungan seni bergantung kepada kemampuan dalang menolong
masyarakat umum dalam meningkatkan kesedaran dan kepekaan kepada seni
warisan ini serta kefahaman tentang penghidupan mahluk di dunia ciptaan
ALLAH S .W .T ., mereka juga dapat mengenal, mengamati dan menghayatinya
sendiri.
Sebagai
contoh, dalam membentuk dan mencipta patung wayang kulit, dalang begitu
dipengaruhi oleh alam persekitaran. Pengalaman terhadap alam dijadikan
sumber penciptaan. Dalam memilih dan mengabdikan unsur alam, dalang
berpegang pada kebiasaan "Keindahan Semulajadi" yang disaring melalui
kepercayaan lampau maka di antara unsur alam itu, bunga, tumbuhan dan
pucuk rebung sering menjadi hiasan pada patung wayang kulit dan
alat-alat muzik gamelan. Penggunaan unsur warna juga dapat disimpulkan
sebagai satu kebiasaan dalang dalam menghayati alam. Sesungguhnya
dalang begitu peka terhadap warna alam. Kesedaran ini menunjukkan
sikap dan kepercayaan manusia kepada Pencipta asalnya, Allah S. W. T.
Opini saya = Wayang Kulit itu adalah satu
daripada acara yang sering dilakukan untuk memelihara seni warisan indonesia yang sangat menakjubkan, Wayng kulit juga termasuk warisan budaya indonesia Khusunya pulau Jawa yng memiliki karakteristik yang kuat dan daya menariknya yang hebat. Selain
daripada tujuan mengekalkan tradisi Melayu, seni wayang kulit ini mungkin
juga boleh dimajukan dengan penghasilan miniatur patung wayang kulit
atau panggung wayang kulit serta alat-alat muzik gamelan yang boleh
dijadikan bahan cenderamata.
NAMA : Jody Fitrian Pradipta
KELAS : 1KA02
NPM : 13112946
MATKUL : ILmu Budaya Dasar